Merujuk kepada artikel bertajuk ‘Mengekalkan Asia Tenggara rantau Ahli
Sunni’ tulisan Mohd Shauki Abdul Majid yang dipaparkan di dalam akhbar
Utusan Malaysia bertarikh 16 Disember 2005, penulis merasakan isu yang
dibangkitkan oleh Penolong Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM)
ini begitu bertepatan dengan suasana semasa di Malaysia. Pada tanggapan penulis
maksud beliau untuk mempertahankan pegangan Ahlus Sunnah Wal Jamaah
merupakan satu usaha untuk memerangi secara habis-habisan segala ajaran-ajaran
sesat yang terdapat di Malaysia seperti Syiah Rafidhah, Gerakan Islam
Liberal, Golongan Anti Hadis, tarekat-tarekat yang sesat, golongan pemuja setan
(budaya punk dan black metal), pengikut Nabi atau Rasul palsu dan
lain-lain lagi.
Namun setelah membaca perenggan-perenggan seterusnya ternyata artikel dari
Penolong Pengarah YADIM ini hanya ingin meneruskan polemik Wahabi yang
dibangkitkan oleh pihak akhbar Utusan Malaysia. Di dalam artikel tersebut
beliau telah menyatakan bahawa kelompok Wahabi adalah penganut fahaman
keagamaan lain yang dalam ertikata lain bermaksud mereka bukan dari kalangan Ahlus
Sunnah Wal Jamaah. Dari sini dapat kita fahami bahawa maksud sebenar
Penolong Pengarah YADIM dengan mempertahankan rantau Asia Tenggara ini sebagai
rantau Ahli Sunni adalah dengan membendung kebangkitan golongan Wahabi yang
semakin diterima dengan baik oleh umat Islam di Malaysia terutamanya di
kalangan cerdik pandai.
Sekiranya Penolong Pengarah YADIM ini memperuntukkan sedikit masa beliau
untuk mengkaji tentang golongan yang beliau gelar Wahabi ini, penulis yakin
kekeliruan seperti ini tidak akan timbul. Ini adalah kerana Syaikh Muhammad
‘Abdul Wahab rahimahullah dan pengikutnya terdiri dari kalangan mereka
yang tegar memperjuangkan pegangan Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Di dalam
sebuah risalah tulisan Syaikh Muhammad ‘Abdul Wahab kepada ‘Abdur Rahman bin
‘Abdullah beliau telah berkata:
Aqidah dan agama yang aku anuti ialah mazhab Ahlus
Sunnah Wal Jamaah, sebagai tuntunan yang dipegang oleh para imam kaum muslimin,
seperti imam-imam mazhab yang empat dan pengikut-pengikutnya.[1]
Namun begitu penulis beranggapan slogan untuk memperkasakan pegangan Ahlus
Sunnah Wal Jamaah di rantau Asia Tenggara dan Malaysia khususnya merupakan satu
usaha yang murni yang mana sepatutnya seluruh tokoh-tokoh agama,
jabatan-jabatan agama dan pihak-pihak NGO yang berteraskan Islam perlu
berganding bahu untuk merealisasikannya. Namun begitu apa yang penting untuk
kita ketengahkan kepada masyarakat terlebih dahulu adalah tentang ciri-ciri
pegangan Ahlus Sunnah Wal Jamaah yang sebenarnya. Setakat mendefinisikan
Ahlus Sunnah Wal Jamaah di Malaysia adalah mereka yang berpegang kepada
mazhab Syafi’i dari segi fikahnya dan mazhab Asy’ariyah atau Maturidiyah dari
segi akidahnya masih belum memadai untuk memperjelaskan pegangan sebenar Ahlus
Sunnah Wal Jamaah apatah lagi untuk memperkasakannya.
Apa yang lebih memburukkan keadaan di Malaysia ini adalah kerana wujudnya
beberapa golongan termasuk sesetengah tokoh agama yang beranggapan bahawa Ahlus
Sunnah Wal Jamaah adalah mereka yang berqunut Subuh, menganjurkan upacara Tahlil
atau Kenduri Arwah, berTalqin, mengirim pahala bacaan al-Qur’an kepada
arwah, membaca surah Yasin pada malam Jumaat, menganjurkan majlis Marhaban
yang dibaca kitab Barzanji, berzikir beramai-ramai dengan suara yang
kuat sesudah solat dan lain-lain perkara seperti apa yang telah dibangkitkan
oleh akhbar Utusan Malaysia beberapa minggu yang lalu. Pemikiran yang
sedemikian rupa hanya mencerminkan bahawa mereka ini belum benar-benar mengerti
apakah ciri-ciri golongan Ahlus Sunnah Wal Jamaah yang sebenarnya.
Ahlus Sunnah Wal Jamaah adalah mereka yang berpegang teguh dengan al-Qur’an
dan al-Sunnah dan mengikuti semua ajaran yang di bawa oleh Rasulullah shallallahu
'alaihi wasallam sama ada di dalam bentuk ‘itiqad (aqidah), ibadah,
muamalah dan akhlak sebagaimana yang difahami dan dilaksanakan oleh para
sahabat radhiallahu 'anhum, tabi’in, tabi’ut tabi’in dan
mereka yang mengikuti mereka ini sehingga ke hari ini. Ahlus Sunnah Wal
Jamaah juga adalah mereka yang berpegang teguh dengan al-Qur’an dan
al-Sunnah sebagaimana yang difahami oleh al-Salafussoleh yang telah
dijamin oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam sebagai generasi
terbaik bagi umat Islam sebagaimana sabdanya:
خَيْرُ
أُمَّتِي قَرْنِي ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ.
Sebaik-baik
generasi ialah generasiku, kemudian orang-orang yang sesudahnya (tabi’in) dan
kemudian orang-orang yang sesudahnya (tabi’ut tabi’in).[2]
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam juga telah menggambarkan
bahawa pada masa hadapan umat Islam akan mengalami perpecahan yang teruk dan
kesemuanya adalah golongan yang sesat kecuali al-Jamaah iaitu mereka
yang mengikuti sunnah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dan manhaj
para sahabat radhiallahu 'anhum. Rasulullah shallallahu 'alaihi
wasallam telah bersabda:
افْتَرَقَتْ
الْيَهُودُ عَلَى إِحْدَى وَسَبْعِينَ فِرْقَةً فَوَاحِدَةٌ فِي الْجَنَّةِ
وَسَبْعُونَ فِي النَّارِ.
وَافْتَرَقَتْ
النَّصَارَى عَلَى ثِنْتَيْنِ وَسَبْعِينَ فِرْقَةً فَإِحْدَى وَسَبْعُونَ فِي
النَّارِ وَوَاحِدَةٌ فِي الْجَنَّةِ.
وَالَّذِي نَفْسُ
مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ لَتَفْتَرِقَنَّ أُمَّتِي عَلَى ثَلاَثٍ وَسَبْعِينَ فِرْقَةً
وَاحِدَةٌ فِي الْجَنَّةِ وَثِنْتَانِ وَسَبْعُونَ فِي النَّارِ.
قِيلَ:
"يَا رَسُولَ اللَّهِ مَنْ هُمْ."
قَال:َ
"الْجَمَاعَةُ."
Yahudi telah
berpecah-belah menjadi 71 firqah (golongan), yang satu firqah berada di syurga
sedangkan yang 70 firqah berada di neraka. Dan Nasrani pun telah berpecah belah
menjadi 72 firqah, yang 71 firqah berada di neraka, sedangkan yang satu firqah
berada di syurga. Demi Allah yang jiwa Muhammad berada di tanganNya,
sesungguhnya umatku akan berpecah-belah menjadi 73 firqah, yang satu firqah
berada di syurga sedangkan yang 72 firqah berada di neraka.
Baginda
ditanya: “Ya Rasulullah, siapakah mereka (satu firqah yang selamat dari umat
Nabi Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam) itu?”
Dan
diriwayat yang lain baginda shallallahu 'alaihi wasallammenjawab:
"مَا أَنَا عَلَيْهِ وَأَصْحَابِي."
Di antara ciri-ciri utama golongan Ahlus Sunnah Wal Jamaah (selepas
ini akan disebut sebagai Ahlus Sunnah) adalah[5]:
1.
Ahlus Sunnah senantiasa
menjadikan al-Qur'an dan al-Sunnah sebagaimana difahami serta dilaksanakan oleh
al-Salafussoleh sebagai sumber syariah di dalam semua perkara berkaitan
ibadah, akidah, muamalah dan akhlak. Setiap yang sesuai dengan al-Qur'an dan
al-Sunnah mereka menerima dan menetapkannya. Sebaliknya, setiap yang
bertentangan dengan al-Qur'an dan al-Sunnah mereka menolaknya, dengan tidak
mengira siapa pun yang berpendapat dengannya.
2.
Ittiba' (mengikuti
sunnah Nabi shallallahu 'alaihi wasallam) dan meninggalkan ibtida'
(amalan-amalan bidaah). Ahlus Sunnah berkeyakinan bahawa syariat Islam
telah sempurna sebelum Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam wafat
sehingga tidak memerlukan untuk diciptakan amalan-amalan baru yang tidak pernah
dianjurkan mahupun diamalkan oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam.
Apa yang pada zaman Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bukan dari
sebahagian agama maka ia tidak menjadi sebahagian agama pada hari ini dan
selamanya. Oleh itu segala amal ibadah Ahlus Sunnah senantiasa berdalil
dengan Sunnah Nabi shallallahu 'alaihi wasallam yang sabit dan
meninggalkan amal ibadah yang hanya berdasarkan rekaan akal manusia dan
hadis-hadis yang lemah serta palsu. Mereka menggabungkan antara ilmu dan
ibadah. Ini berbeza dengan golongan selain mereka yang melakukan amal ibadah
tanpa ilmu sehingga mudah amalan-amalan bidaah meresap dan kemudiannya dianggap
sunnah.
3.
Ahlus Sunnah tidak
mengagungkan mana-mana imam ataupun ulamak yang mereka ambil seluruh ucapannya
kecuali Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Walaubagaimanapun
mereka tetap menghormati seluruh imam-imam Ahlus Sunnah Wal Jamaah
terutamanya imam-imam mazhab yang empat. Bagi Ahlus Sunnah pendapat
ataupun ucapan selain daripada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam
adalah tidak terpelihara dari kesilapan maka mereka menimbangnya dengan
al-Qur'an dan al-Sunnah. Jika ia sesuai dengan keduanya maka ianya akan diterima
sebagai hujah dan sekiranya tidak maka ianya akan terbatal.
4.
Ahlus Sunnah adalah
orang yang paling mengetahui tentang Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam.
Mereka mengetahui petunjuk, amal, ucapan dan ketetapan-ketetapan daripada
baginda. Kerana itu, mereka adalah orang yang paling mencintai baginda dan
paling setia mengikuti sunnahnya.
5.
Para
pengikut Ahlus Sunnah mengagungkan para al-Salafussoleh,
meneladani dan menjadikan mereka sebagai teladan. Mereka melihat bahwa jalan
para al-Salafussoleh adalah jalan yang paling selamat, paling mengetahui
dan paling bijaksana tentang syariah yang dibawa oleh Nabi Muhammad shallallahu
'alaihi wasallam.
6.
Ahlus Sunnah tidak
mengutamakan atau meninggikan logik akal berbanding dengan al-Qur’an dan
al-Sunnah. Ini adalah kerana akal tidak dapat berdiri sendiri untuk memahami
syariah, kerana akal itu lemah dan terbatas. Sebagaimana pendengaran,
penglihatan dan kekuatan manusia itu terbatas, demikian pula dengan akalnya.
Oleh itu akal harus tunduk kepada al-Qur’an dan al-Sunnah.
7.
Ahlus Sunnah adalah
kelompok yang paling amanah dalam hal-hal yang berkaitan dengan ilmu agama.
Sekiranya mereka menukil sesuatu pendapat atau pandangan, mereka tidak
memalsukan atau memutarbelitkan fakta. Jika mereka menukil dari seseorang yang
berbeza pendapat dengan mereka, maka mereka menukilnya dengan sempurna, tidak
mengambil apa yang sesuai dengan pendapatnya dan meninggalkan yang lain.
8.
Ahlus Sunnah adalah
kelompok pertengahan dan pilihan. Sikap kesederhanaan Ahlus Sunnah jelas
kelihatan dalam banyak hal yang berkaitan dengan aqidah, hukum, ibadah, akhlak
dan lain-lainnya. Mereka adalah kelompok pertengahan di antara yang ekstrem dan
yang meremehkan.
9.
Ahlus Sunnah tidak
berselisih dalam masalah-masalah prinsip aqidah. Para al-Salafussoleh
tidak berselisih di dalam masalah-masalah pokok berkaitan aqidah. Dalam masalah
Tauhid al-Asma wa al-Sifat misalnya, pendapat mereka adalah satu.
Pendapat mereka juga sama dalam masalah iman, defenisi dan berbagai persoalannya,
dalam masalah takdir dan juga dalam masalah-masalah prinsip lainnya.
10. Ahlus Sunnah menetapkan
nama-nama Allah yang indah serta sifat-sifatNya yang Maha Sempurna seperti yang
telah dikhabarkan oleh al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih. Kaedah inilah yang
dinamakan dengan Tauhid al-Asma wa al-Sifat dan inilah juga kaedah yang
telah disepakati oleh Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam al-Syafi’i, Imam Ahmad
dan juga pegangan sebenar Imam Abu al-Hassan al-Asya’ari rahimahumullah. Kaedah ini
memutuskan untuk kita menetapkan apa sahaja yang disampaikan oleh Allah
mengenai diriNya di dalam kitabNya dan oleh Rasulllah shallallahu 'alaihi
wasallam dengan keimanan yang bersih dari tahrif (mengubah makna
tersebut), ta’thil (meniadakan sifat tersebut), takyif
(bertanyakan bagaimana sifat tersebut) dan tamthil (menyamakan sifat
tersebut dengan makhluk). Ini adalah kerana Allah-lah yang paling mengetahui
tentang sesuatu termasuk tentang sifat-sifat yang ada pada diriNya dan manusia
yang paling mengetahui dan mengenali Allah Subhanahu wa Ta'ala adalah
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Ahlus Sunnah tidak
mengingkari sifat-sifat Allah sebagaimana kelompok Jahmiyah dan Muktazilah.
11. Ahlus Sunnah percaya
bahawa al-Qur’an adalah kalamullah (kata-kata Allah) dan bukan makhluk
sebagaimana kelompok Muktazilah.
12. 12) Ahlus Sunnah
berkeyakinan bahawa orang-orang yang beriman akan dapat melihat Allah Subhanahu
wa Ta'ala dengan kedua mata mereka di akhirat kelak. Perkara ini diingkari
oleh golongan Muktazilah.
13. Ahlus Sunnah percaya
bahawa Imam itu boleh bertambah dan berkurangan. Ianya bertambah dengan
ketaatan dan berkurangan dengan maksiat.
14. Ahlus Sunnah berpendapat
bahawa dosa besar yang dilakukan oleh seorang mukmin tidak
mengeluarkannya dari iman selama tidak menganggap dosa-dosa yang dilakukan itu
boleh atau halal. Ahlus Sunnah Wal Jama’ah berkeyakinan mukmin
yang melakukan dosa besar, bila dia meninggal dunia sebelum sempat bertaubat,
sekiranya dia dimasukkan ke dalam neraka, dia tidak kekal di dalamnya lalu akan
dimasukkan ke syurga setelah itu. Urusan seorang mukmin yang melakukan
dosa-dosa besar diserahkan kepada kehendak Allah Subhanahu wa Ta'ala
sepenuhnya sama ada diampunkan segala dosanya atau menerima pembalasan yang
setimpal dengan dosanya.
15. Ahlus Sunnah menolak
sikap bermudah-mudah di dalam mengkafirkan di antara sesama Islam. Ahlus
Sunnah hanya membantah dan menjelaskan kebenaran kepada orang yang
berselisih dengan mereka. Ini berbeza dengan kelompok lain seperti Khawarij yang
senang berselisih, menyesatkan dan mengkafirkan.
16. 16) Ahlus Sunnah mencintai
para Ahlul Bait (ahli keluarga Rasulullah shallallahu 'alaihi
wasallam) dan kepada para sahabat radhiallahu 'anhum. Hati dan lisan
mereka selamat dari mencerca para Ahlul Bait dan sahabat Rasulullah shallallahu
'alaihi wasallam.
17. Ahlus Sunnah tidak
menolak keramat para wali Allah dan perkara-perkara luar bisa yang terjadi pada
mereka ini boleh berlaku dengan izin Allah. Namun begitu perkara luar biasa
yang berlaku kepada seseorang tidak membuktikan dia berada di atas jalan yang
haq selagi dia tidak mengikuti al-Qur’an dan al-Sunnah. Yunus bin ‘Abdul A’la
berkata:
Aku berkata
kepada Muhammad bin Idris al-Syafi’i rahimahullah: “Teman kita, al-Laits bin
Sa’ad pernah berkata, bahawa jika dia melihat seorang pengikut hawa nafsu (ahli
bidaah) boleh berjalan di atas air, dia tetap tidak akan mempercayainya.” Maka
Imam al-Syafi’i menambah: “Ucapannya itu kurang. Aku tambahkan, jika aku
menyaksikan seorang pengikut hawa nafsu terbang, aku tetap tidak percaya
kepadanya.”[6]
18. Ahlus Sunnah amat
menitik-beratkan untuk menyatukan umat Islam kepada kebenaran. Mereka sangat
mengambil berat untuk menguatkan kesatuan umat Islam dan menghilangkan segala
sebab-sebab yang boleh membawa pertikaian dan perpecahan. Sebab mereka
mengetahui, persatuan adalah rahmat dan perpecahan adalah azab.
19. Ahlus Sunnah adalah
golongan yang memiliki wawasan yang luas, pandangan yang jauh ke depan, paling
lapang dada dalam soal perselisihan dan paling teguh memegang berbagai
peringatan. Mereka tidak segan silu untuk menerima kebenaran dari siapapun,
juga tidak malu untuk kembali kepada kebenaran sekiranya kesilapan berada di
pihak mereka. Mereka juga tidak memaksa orang lain mengikuti pandangan mereka,
tidak mengatakan sesat orang-orang yang menyelisihinya, dan tidak terlalu
memberat-beratkan perkara yang wujud perbezaan pendapat di kalangan ulamak Ahlus
Sunnah.
20. Ahlus Sunnah juga
dikenali sebagai Firqah al-Najiyah (golongan yang selamat) kerana
pegangan mereka terselamat dari berbagai bidaah dan kesesatan di dunia ini dan
selamat pula dari siksa Allah di akhirat kelak. Mereka adalah Thaifah
al-Manshurah (golongan yang menang), kerana Allah senantiasa bersama mereka
menolong dan meneguhkan mereka. Ahlus Sunnah juga dikenali sebagai Salafiyah
kerana mereka menjadikan pegangan al-Salafussoleh sebagai sumber
syariah.
Sekiranya ciri-ciri yang telah penulis gariskan ini tidak diperjelaskan
kepada masyarakat rantau ini dan dipersetujui bersama oleh semua pihak, maka
slogan untuk memperkasakan pegangan Ahlus Sunnah Wal Jamaah akan hanya
tinggal slogan tanpa dapat dilaksanakan. Oleh itu penulis menasihatkan Penolong
Pengarah Yadim untuk mempergunakan kesempatan yang diberikan kepada beliau
untuk menulis di akhbar Utusan Malaysia untuk menyebarkan pegangan Ahlus
Sunnah yang sebenar dan membanteras segala bentuk ajaran sesat yang berada
di Malaysia. Beliau seharusnya tidak membuang masa dengan meneruskan polemik
terhadap kelompok Wahabi yang sebenarnya juga kuat berpegang kepada mazhab Ahlus
Sunnah Wal Jamaah.
[1] Syaikh
Muhammad Basyir al-Sahsawani, Shiyanah al-Insan, ms. 473. Penulis nukil
daripada kitab Syeikh Muhammad ‘Abdul Wahab & Gerakan Wahabi
karangan Ibnu Syihab, Perniagaan Jahabersa, Johor Bahru, 1997, ms. 36-37.
a) Kertas kerja bertajuk Ahl
Al-Sunnah Wal Jama’ah: Satu Pengenalan yang telah dibentangkan oleh Dr.
Johari Mat semasa Seminar Ahli Sunnah Wal Jamaah Golongan Teladan di
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
b) Kertas kerja bertajuk Manhaj
Aqidah Ahlus Sunnah Wal Jamaah yang telah dibentangkan oleh Dr.
Abdullah Yassin semasa Seminar Ahli Sunnah Wal Jamaah Golongan Teladan
di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
c) Syaikh
Muhammad bin Ibrahim al-Hamd, Ciri-Ciri Aqidah Sunnah Wal Jama’ah,
Buletin Dakwah An Nur, IV/No: 139/Jumaat I/Rabiul Awal, 1419H. Penulis nukil
daripada laman web almanhaj.or.id.
d) Syaikh Muhammad bin Ibrahim al-Hamd,
Karakteristik Pengikut Ahlus Sunnah Wal Jama’ah, Buletin Dakwah An Nur,
IV/No: 140/Jumaat II/Rabiul Awal, 1419H. Penulis nukil daripada laman web almanhaj.or.id.
[6] Imam
al-Baihaqi, Manaqib al-Syafi’i, jilid 1, ms. 470. Penulis nukil daripada
kitab Manhaj Aqidah Imam al-Syafi’i karya Dr. Muhammad A.W. al-‘Aqil,
ms. 112.